Pada malam itu Che Det yang mempengerusikan mesyuarat kelihatan tenang. Bercakap pun dengan nada perlahan.
Beliau menyatakan tujuan mesyuarat MT malam itu adalah untuk membincangkan mengenai Anwar Bin Ibrahim. Che Det pun menceritakan serba ringkas mengenai kisah kemasukan Anwar ke dalam Umno.
Che Det memberi alasan mengapa beliau sanggup memberi laluan dan menonjolkan Anwar dalam Umno dan kerajaan kerana berharap Anwar akan mengambil alih pemerintahan negara ini daripada dia.
Che Det memaklumkan bahawa semenjak kebelakangan ini dia sedar bahawa antara dia dengan Anwar sudah tidak ngam lagi. Banyak perkara yang beliau tidak sekata, baik dalam perihal ekonomi mahupun politik.
Kemudian Che Det memaklumkan bahawa dia mendapat tahu berkenaan hasrat Anwar untuk mencabarnya bagi jawatan Presiden pada pemilihan akan datang. Namun Che Det menegaskan dia bersedia bertanding dengan Anwar pada bila-bila masa kerana yakin dapat mempertahankan dirinya.
Selesai Che Det bercerita tentang semua itu, dia beralih ke bab moral pula. Sedang Che Det bercakap berkenaan peribadi Anwar, tiba-tiba Anwar bangun dan meminta untuk membela diri. Suara Anwar pada masa itu cukup tinggi dan sesekali berdiri sambil menepuk meja.