Ketika tulisan ini ditulis golongan Syiah Melayu sedang berpesta meraikan kemenangan besar mereka ke atas golongan Ahli Sunnah di Malaysia iaitu keputusan mahkamah syariah membebaskan tokoh mereka serta penceramah warga Iran dari pertuduhan menyebarkan ajaran Syiah di pusat mereka. Kemenangan ini sangat besar ertinya kepada mereka kerana satu institusi undang-undang terbesar Ahli Sunnah tidak mampu menyekat mereka dari terus berkembang di Malaysia. Bahkan beberapa hari sebelum keputusan diumumkan ketua Syiah Melayu dengan penuh rasa yakin bahawa kemenangan pasti berpihak kepada mereka melampirkan dokumen-dokumen penting perbicaraan untuk tatapan umum dalam blognya bagi menyatakan mereka sebenarnya sangat yakin mampu memenangi kes ini. Hari ini keputusan benar-benar berpihak kepada mereka. Nah, manakah lagi institusi agama Ahli Sunnah yang mampu menyekat kami! Mereka tidak akan mampu dan undang-undang pasti berpihak kepada kami!
Penulis tidak mahu memberikan komentar terhadap keputusan mahkamah. Hakikatnya kita sedia maklum, seperti yang berlaku sebelum-sebelum ini, Syiah bukan sekali telah turun naik ke mahkamah, tahanan ISA dan lain-lain serbuan sama ada secara heboh atau tidak, kita sudah mengetahui di penghujungnya pasti orang-orang Syiah akan dibebaskan. Kita lihat bagaimana selepas dikenakan tahanan ISA awal tahun 2000, kita lihat bagaimana Syiah sebagai minoriti telah meningkatkan pertumbuhan hauzah-hauzah mereka dengan cepat, tiada taranya setelah mereka sedar di belakang mereka ada pertubuhan-pertubuhan yang besar di peringkat antarabangsa yang akan menyokong dan akan berjuang untuk mereka di atas alasan kebebasan hak minoriti, kebebasan bersuara, menyatakan fikiran dan sebagainya. Hasilnya hari ini kita lihatlah Syiah Melayu telah menghantar memorandum mereka kepada Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri, SUHAKAM, surat-surat kepada menteri-menteri kabinet bagi menuntut mereka dilayan dengan mesra dan bebas sebagai hak penganut agama minoriti dan menuntut mereka disamakan sebagai golongan Islam. Dokumen-dokumen sebegini kita lihat pasti salinannya disertakan kepada pertubuhan besar antarabangsa supaya pihak luar akan peka terhadap isu mereka di Malaysia.