Selasa, 30 Julai 2013

Tragedi 26 April 1976...Selamat Pulang (Extraction Clarence Team )

Saya terbaca satu artikel dalam kolum 'Perajurit', Utusan Malaysia bertarikh 12 Oktober 2002 melalui satu 'forum'. Ianya mengisahkan bagaimana sekumpulan 9 warga komando yang dapat memboloskan diri dari kepungan sejumlah 300 pengganas komunis. Kejadian berlaku pada April 1976 ketika Ops Gubir. Saya memang teruja untuk menyiarkan artikel tersebut. Kalah cerita 'Rambo'!Tetapi sebelum itu, saya perlu memastikan kesahihannya.

Saya dicadangkan untuk menghubungi Lt Kol Aziz Rashid (B) (gambar) untuk mendapatkan kepastian cerita tersebut. Setelah beberapa bulan mencuba, akhirnya, pada 23 Ogos 2010 jam 2130, saya telah bertemu dengan beliau di Hotel Samila, Alor Setar. Saya sebenarnya tidak mengenali beliau. Saya memberitahu beliau cerita saya tentang 'Tragedi Gubir' tergantung kerana tidak mengetahui bagaimana 18 (bukannya 9) mereka yang 'tertinggal' selepas Ops Gubir (menawan kem pengganas komunis) selamat kembali ke Gubir. Menurut Lt (U) Murad, beliau tidak berkesempatan untuk mebawa keluar baki 18 warga komando tersebut disebabkan hari sudah gelap. Malah, ketika 'approach' ke lokasi itu, Nuri beliau telah ditembak. Penerbangan tersebut pada 1 Mei 1976, jam lebih kurang 1830. Mereka selamat mendarat di Gubir.


1 Mei 1976...Malam Pertama. Tinggallah 18 anggota komando yang diketuai oleh Lt M Aziz Rashid. Menurut beliau, dianggarkan sejumlah 60 pengganas komunis (PK) telah mengepung kawasan yang mereka berada. Lokasi ini ditanam dengan anak pokok getah. PK datang menaiki lori dan menjadikan malam itu macam satu pesta...mungkin meraikan Hari Pekerja agaknya...He...He...He. Keriangan PK jelas kelihatan kerana mereka (PK) mengguna lampu picit. Aziz memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan dan diarah menduduki 3 lokasi (lihat lakaran). Seorang sentri ditempatkan di antara lokasi 3 dan 1&2. Arahan beliau ialah mereka jangan menembak melainkan kehadiran PK sangat jelas. Ini kerana mereka kekurangan peluru. Malam itu besengkang mata mereka semua. Anehnya...PK tidak menyerang mereka! Beliau sempat menghubungi 'Z' skuadron yang beroperasi di kawasan Gubir untuk memaklumkan keadaan di lokasi. Beliau dimaklum Nuri tidak akan mengambil mereka keesokan hari kerana lokasinya tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV (rendezvous) dengan satu kumpulan komando yang ditugaskan untuk 'menyelamatkan' mereka di satu lokasi di kawasan Malaysia, berhampiran dengan satu LP (Landing Point).

2 Mei...Hari ke2. Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 Alouette 'gunships' ke lokasi Aziz pagi itu. Sebelum bateri set radio 'mati', mengenali pilot gunship, beliau telah mengarah Lt (U) Khalid Ali untuk '..hang bantai' kawasan tertentu. Apa lagi...Khalid pun habiskan kesemua lebih dari 200 butir 20mm HE. Setelah gunships beredar, Aziz dan anak buahnya meninggalkan lokasi tanpa sebarang sarapan kerana kehabisan makanan. Sudah pasti mereka tidak mengambil jalan mudah dengan mengikut 'track' yang sedia ada kerana kemungkinan besar sudah dipasang dengan jerangkap samar dan mungkin juga akan diserang hendap. Mereka bergerak berpandukan arah kompas. Dalam perjalanan, mereka terjumpa 'kem' PK yang ditinggal secara tergesa-gesa. Masih ada periuk, makanan, sebilah pisau dan dokumen yang disahkan kepunyaan Ketua Pasukan Penyerang (Assault Force). Kemungkinan PK melarikan diri akibat tembakan gunships.

Sama seperti malam terdahulu, mereka sedar PK sentiasa mengekori mereka tetapi tidak menyerang atau membuat serang hendap terhadap mereka. Bila malam menjelma, Aziz memerintahkan anggotanya membuat 'rumah batu' (membuat 'hammock'). Memang terkejut mereka mendengar arahan ini...dalam keadaan getir sebegini masih fikirkan keselesaan untuk tidur! Ini kerana sebarang pergerakan ketika berada di atas hammock akan mengeluarkan bunyi. Sudah pasti keadaan ini memudahkan PK mengesan kedudukan mereka. Kebiasaannya, warga komando hanya tidur berhamparkan ponco atas tanah.

Ini hanya 'umpan'. Aziz meninggalkan 'Jungtel' (jungle hotel) ke lokasi di atas bukit berhampiran untuk mengatur serang hendap. Seperti terdahulu, arahan beliau jangan tembak melainkan kewujudan PK dipastikan. Menurutnya, PK akan pasang lampu picit yang diikat di penghujung kayu. Mereka (PK) akan menyuluh ke arah atas dengan andaian anggota komando akan makan umpan dan seterusnya akan menembak ke arah cahaya tersebut. Pada malam itu, memang seperti yang dijangkakan ...komando kita melihat cahaya ke arah 'atas'. Alhamdulillah, mereka patuh pada arahan dan tidak termakan umpan tersebut. Sekiranya tidak, PK akan dapat mengesan kedudukan serang hendap. Apa akan terjadi...Wallahualam!

3 Mei...Hari ke3. Menjelang pagi, Aziz dan anak buahnya turun ke Jungtel. Betul jangkaan Aziz...kem mereka telah dicerobohi oleh PK! Terdapat begitu banyak kesan tapak kaki di kawasan kem...dianggarkan lebih kurang 40 PK. Mereka meneruskan perjalanan menuju ke RV. Apabila tiba di sempadan Malaysia/Thailand, terdapat lakaran JS yang dilekat di batang 2-3 pokok. Mungkin untuk menakutkan wira-wira yang kelaparan ini. Bagi mengelak dari terkena JS, Aziz mengarahkan tiga 'haversack' diikat dengan tali dan dilontar kearah yang akan dilalui. Kemudian haversack tersebut ditarik. Sekiranya terdapat JS, ianya akan meletup tetapi tidak akan mengena mereka. Ini diikuti pula sebatang kayu untuk 'prod' bagi menentukan laluan tersebut selamat.

Proses ini berterusan dan akhirnya mereka tiba di lokasi RV. Di sana, satu pasukan warga komando dari 'Y' skuadron yang diketuai oleh Lt M Rajasegaran sedia menunggu mereka...dengan makanan! Menurut Aziz, buat pertama kali beliau habis makan 1 'mess tin' nasi kerana terlalu lapar. Seterusnya, kesemua mereka bergerak ke LP. Wira-wira ini diterbangkan oleh Nuri dari LP ke Kem Gubir.

Aziz dimaklumkan pihak atasan sudah mengarahkan untuk menyediakan 18 keranda untuk mereka semua. Beliau memohon cuti 3 hari dari Pegawai Memerintah, arwah Lt Kol Hasbullah, untuk berjumpa dengan ibu-bapanya.

Lengkaplah coretan 'Tragedi 26 April 1976'.

Lt Kol Aziz Rashid...Terima kasih.

SUMBER

Tiada ulasan: